NUZUL QURAN & BADAR KUBRO
Tazkirah September 29th, 2007
Assalamualaikum,
Pejam celik, pejam celik kita sudah pun berada di pertengahan Ramadhan Almubarak ini. Ini bermakna sudah 17 hari kita menunaikan puasa fardu ini dan sudah 17 hari juga kita berada di Institusi Pendidikan Ramadhan ini. Ini bermakna kita mempunyai baki 13 hari lagi untuk ‘graduate’ dari Madrasah Ramadhan ini.
Persoalannya adakah kita sudah bersedia untuk mencapai ‘Gred’ tinggi dalam ‘Syahadah Ramadhan‘ atau Sijil Ramadhan ini? Kita masih mempunyai waktu untuk mempersiapkan diri bagi memastikan kita mampu untuk mencapai pangkat ‘A’ dalam semua matapelajaran yang sedang kita pelajari di dalam Madrasah ini yang merangkumi subjek seperti :
- Akidah dan Ruhiyyah (Spritual)
- Sabar dan thabat
- Amal Makruf
- Wara’ dan zuhud (Takwa)
Kejayaan cemerlang di dalam 4 subjek di atas adalah merupakan benih subur ke arah pembentukan ‘Individu Muslim‘ soleh atau solehah dan sekaligus menjadi Role Model kepada Umat Manusia yang lain. Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan sahabat-sahabat sekalian, sama-sama kita bermuhasabah diri kita ini.
Hari ini (17 Ramadhan) merupakan hari yang bersejarah kepada Umat Islam yang berlaku pada bulan yang mulia dan berkat ini. Ramadhan mempunyai beberapa keistimewaan tersendiri yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain. Pada bulan Ramadhan Almubarak ini juga berlakunya berlakunya beberapa siri peperangan, pembukaan kawasan/negeri baru serta peristiwa-peristiwa bersejarah. Di antaranya :
1 - Hari ini diturunkan Al-Quran dan kitab-kitab samawi kepada Rasulullah s.a.w dan para anbiya’ :
Maksud firman Allah s.w.t : “…….. bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah” - Al-Baqarah 185
2 - 17 Ramadhan, 2 hijrah - Badar Kubro - Berlakunya peperangan Badar di dalam bulan ini, dalam keadaan mereka berpuasa di tengah-tengah padang pasir yang panas! Di dalam peperangan ini tentera-tenteran Muslimin berjaya menewaskan tentera Musyrikin yang berjumlah tiga kali ganda lebih ramai dari tentera Islam. Kemenangan yang diraih dengan penuh kesabaran, kesungguhan dan keyakinan ini adalah hasil dari motivasi yang diberikan oleh baginda Rasulullah s.a.w kepada para sahabat tersebut.
3 - Ramadhan 4 Hijrah - Rasulullah s.a.w telah berkahwin dengan Ummul Mukminin, Sayyidah Zainab binti Khuzaimah bin Al-Haris
4 - Ramadan 5 Hijrah - Merupakan bulan persediaan bagi tentera Muslimin untuk menghadapi peperangan Khandak, salah satu peperangan terbesar pada zaman Rasulullah yang berlaku pada Syawal berikutnya dengan kemenangan di pihak tentera Muslimin.
5 - 10 Ramadhan 8 Hijrah - Berlakunya peristiwa bersejarah dalam Islam dan dalam proses pembentukan Negara Islam iaitu ‘Fathul Makkah’ ekoran dari termeterainya ‘Perjanjian Hudaibiah’ di antara Rasulullah s.a.w dengan orang-orang Quraisy. Fathul Makkah ini telah meninggalkan kesan yang mendalam di dalam proses untuk menyatukan kabilah-kabilah Arab dan merupakan titik permulaannya pembentukan ‘Daulah Islamiyah’
6 - 25 Ramadhan 8 Hijrah - Dihancurkannya berhala Uzza oleh Khalid bin Al-Walid ra.
6 - Ramadhan 9 Hijrah - Pengislaman rombongan kaum Saqif selepas menemui Rasulullah di Madinah
7 - Ramadhan 9 Hijrah - Berhala Latta pula dihancurkan
8 - Ramadhan 10 hijrah - Nabi Muhammad telah mengutus Ali Abi Talib dan rombongan kaum Muslimin ke negeri Yaman yang membawa bersama surat perutusan dari Rasulullah s.a.w kepada para penduduk di situ. Penduduk Yaman menyambut baik rombongan tersebut dan dalam masa sehari sahaja mereka telah memeluk Islam dan bersolat berimankan Saidina Ali r.a
9 - Ramadan 11 Hijrah - Kaum Musyrikin yang tewas dalam peperangan Badar telah membuat persiapan untuk membalas dendam di atas kekalahan mereka pada peperangan Badar itu. Pelbagai kabilah telah bersatu pada bulan itu dan pada 7 Syawal berikutnya, tercetus peperangan Uhud.
10 - Ramadan 15 Hijrah - Peperangan Qadisiah telah berlaku pada bulan ini dan orang Islam telah mendapat kemenangan daripada kerajaan Parsi.
11- 28 Ramadhan 92-93 Hijrah - Penaklukan Andalus - tentera Islam telah membuka kepulauan Rodhes dan seterusnya berlaku peperangan yang tidak kurang pentingnya bagi Umat Islam iaitu penghantaran tentera Muslim di bawah pimpinan Tariq bin Ziad ke ke Selatan Andalus oleh Musa bin Nusair. Pada bulan Ramadhan yang berikutnya tentera Islam di bawah pimpinan Tariq bin Ziad telah menewaskan tentera-tentera Raja Rodheck dan berjaya menguasai Andalus
12 - Ramadhan 584 Hijrah - Salahuddin Al-Ayyubi mengalahkan tentera Salib dan membebaskan sebahagian besar negeri yang pernah dikuasai oleh pihak Salib. Salahuddin telah mengucapkan kata-katanya yang tegas dan mantap ketika mana beliau menjawab saranan penasihatnya yang meminta agar beliau berehat kerana bimbang maut akan menjemputnya. Salahuddin telah menjawab: “Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam.” Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan Ramadhan.
13- Ramadhan tahun 658 Hijriyah - Peperangan ‘Ain Jalut, bangsa Mongol Tartar telah berjaya dikalahkan oleh Pasukan Islam di bawah pimpinan Qutuz (Kerajaan Mamalik) buat pertama kalinya yang sebelumnya dianggap sebagai satu perkara yang mustahil.
14- dan banyak lagi peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku pada bulan Ramadhan Al-Mubarak ini.
NUZUL AL-QURAN & BADAR KUBRO
“…….. bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.” Al-Baqarah 185
Jadi bersama kita merenungi sejarah dan peristiwa yang berlaku pada sepanjang bulan Ramadhan ini terutama yang berlaku pada hari ini iaitu Nuzul Al-Quran dan Badar Kubro, dua peristiwa penting yang telah mencorakkan pelbagai peristiwa besar dalam sejarah Umat Islam. Turunnya Al-Quran ini, bermakna bermulanya tugas Nabi Muhammad s.a.w sebagai Rasulullah s.a.w untuk menyebarkan risalah Islam yang mengandungi rahmat untuk seluruh alam.
“…rahmat bagi seluruh Alam” - Al Ankabut 45.
Peranan dan fungsi Al-Quran yang merupakan kitab suci yang menjadi petunjuk bagi seluruh umat manusia, mengandungi penjelasan-penjelasan mengenai segala hal, merangkumi segenap aspek dan bidang serta berfungsi sebagai “Furqon”- pemisah antara hak dan batil. Janganlah sekali-kali kita mempercayai sebahagian Al-Quran itu tetapi tidak beriman dengan sebahagian yang lain kerana semata-mata untuk menjaga kepentingan diri sendiri. Berusaha untuk belajar Al-Quran sama ada dari sudut pembacaan, makhraj, hukum tajwid, tafsir walaupun sekarang kita sudah tidak berstatus pelajar lagi. Begitu juga jika sekiranya kita bukan seorang yang berkelulusan agama sekalipun belajar Al-Quran merupakan fardu ain ke atas setiap individu Muslim terutama yang buta Al-Quran. Ajarlah anak-anak kita dengan Al-Quran dan isi kandungannya serta dekatkan diri mereka dengan ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya (bukan sekadar membaca semata-mata) agar generasi yang lahir selepas kita kan menjadi satu generasi yang celik Al-Quran (bukan celik IT semata-mata!)
Badar Kubro - Pada bulan Ramadan ini juga tercetusnya Badar Kubro (tahun 2 Hijrah). Pertempuran yang berlaku di antara umat Islam melawan kaum Musyrikin Quraisy Mekah. Kekuatan umat Islam yang hanya 330 orang, terdiri dari golongan Muhajirin (umat Islam yang hijrah dari Mekah ke Madinah) dan golongan Ansar (umat Islam penduduk asal Madinah), yang dipimpin oleh Nabi Muhammad s.a.w menghadapi 950 orang pasukan Musyrikin Quraisy Mekah yang dipimpin oleh pemuka-pemuka yang tidak asing lagi seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Abu Sufyan dan ramai lagi.
Pada waktu itu tentera Muslimin berada di dalam keadaan serba kekurangan dan amat cetek pengalaman mereka dalam peperangan, terlalu sedikit jumlahnya, kurang dari sudut peralatan juga kelengkapan perang yang sudah usang. Namun dengan berkat kesabaran, keyakinan tinggi serta bantuan dari Allah s.w.t mereka ternyata mampu mengalahkan tentera Musyrikin Mekah yang gagah perkasa yang dibantu oleh peralatan yang canggih dan bermutu. Di bulan Ramadhan inilah mereka menjadi individu Muslim yang bermutu dan tinggi nilainya. Golongan yang berada atas landasan yang Haq walaupun kecil mampu mengalahkan golongan batil yang berlipakali-ganda kuantitinya. Maka Badar Kubro yang telah mereka hadapi dalam keadaan melaksanakan ibadah puasa ini, dikenali sebagai “Yaumul Furqon” iaitu hari pemisah antara yang haq dengan batil - Al Anfal 41.
Enam tahun kemudian iaitu pada tahun 8 Hijrah, Umat Islam berjaya menakluki Kota Mekah dan penghuni Mekah pada waktu itu yang majoritinya masih dalam keadaan Musyrik dan kafir menyerah kalah tanpa sebarang pertentangan termasuk pemuka-pemukanya yang kuat memusuhi Islam seperti Abu Sufyan dan sebagainya.
Kesimpulannya yang dapat kta ambil sebagai iktibar sama ada dari Perang Badar atau Pembukaan Kota Mekah ialah menjadikan kedua-dua peristiwa besar itu sebagai satu contoh teladan bagi Umat Islam di sepanjang zaman. Bagaimana pentingnya kesatuan dan persatuan Umat Islam dalam satu ikatan iman dan taqwa kepada Allah s.w.t itu dan perlunya bersikap tegas terhadap kuffar tetapi saling kasih mengasihi sesama Islam - Al Fath 29. Hingga membuktikan Islam itu adalah unggul dan tidak ada yang dapat mengungguli keungunggulan Islam itu sendiri. Islam itu tinggi dan tiada yang melebihi ketinggiannya.
Sekian

Popularity: 25% [?]











About






































