ZULQAEDAH & ZULHIJJAH (1)
Tazkirah November 30th, 2007
Assalamualaikum,

Kita sekarang sudah pun hampir meninggalkan bulan ZulQaedah dan akan memasuki bulan Zulhijjah pula, ini bermakna semakin hampir kita dengan Idil’Adha dan juga semakin menghampiri tahun 1429. Bulan ZulQaedah dan ZulHijjah merupakan bulan ke sebelas dan ke dua belas dalam bulan-bulan Islam. Di dalam kedua-dua bulan ini juga berlakunya beberapa rentetan sejarah yang telah mencorakkan pelbagai peristiwa dan peringatan. Tazkirah kali ini saya sekadar ingin mengingati sesama kita tentang beberapa kejadian yang berlaku di dalam kedua-dua bulan dalam Islam ini sebagai satu peringatan dan ilmu sesama kita. Di antara dua peristiwa besar yang berlaku di dalam bulan ini ialah Bai’atul Ridhwan dan Perjanjian Hudaibiah.
1- Bai’atul Ridhwan - Perjanjian ini berlaku ekoran dari peristiwa keluarnya Rasulullah s.a.w bersama-sama para sahabatnya yang berjumlah lebih kurang 500 orang yang terdiri dari Muslimin dari Mekah dan Madinah dan mereka menuju ke Mekah Al-Mukarramah. Namun kedatangan rombongan Rasulullah s.a.w ini telah diketahui oleh orang-orang Musyrikin Quraisy dan mereka dengan segera mengambil keputusan untuk menyekat rombongan Rasulullah s.a.w itu dari memasuki kota Mekah. Rasulullah s.a.w akhirnya tiba di satu tempat yang bernama Hudaibiah dan ketika mereka tiba di situ, maka datanglah utusan-utusan dari Musyrikin Quraisy untuk mengetahui apakah tujuan sebenar kedatangan Rasulullah s.a.w itu bersama-sama dengan rombongan yang agak besar itu.
Rasulullah s.a.w kemudian telah menghantar Saidina Uthman bin Affan sebagai utusan yang mewakili rombongan kaum Muslimin itu untuk berbincang dan merundingkan tentang kedatangan mereka ke Mekah itu. Kedatangan Uthman ke Mekah itu telah disambut oleh orang-orang Quraisy dengan buruk iaitu Uthman ditangkap dan di tahan di Mekah. Namun berita yang sampai ke telinga Rasulullah s.a.w ialah Uthman telah dibunuh oleh orang-orang Quraisy itu. Penangkapan Uthman itu telah membangkitkan kemarahan dari pihak Muslimin dan Rasulullah s.a.w dengan segera berkumpul di bawah sebatang pokok dan berikrar dan mengikat janji setia di bawah pohon itu degan para sahabatnya untuk menuntut bela di atas kematian Saidina Uthman yang kononnya telah dibunuh itu.
Perjanjian ini dikenali sebagai Bai’atul Rihdwan yang mana telah disebutkan oleh Allah s.w.t di dalam Surah Al-Fath 18 yang bermaksud :
“Demi sesungguhnya, Allah redha akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan ta’at setia) yang ada dalam hati mereka, lalu Ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya“.
Pihak Musyrikin Quraisy sebaik sahaja mendengar Rasulullah s.a.w telah melakukan satu perjanjian dan persepakatan itu telah merasa gerun dan takut, lantas mereka dengan segera menghantar kembali Saidina Uthman dalam keadaan selamat.
2- Perjanjian Hudaibiah - Perjanjian Hudaibiah ini juga berlaku di dalam bulan ZulQaedah iaitu pada akhir tahun ke-6 Hijrah. Perjanjian ini berlaku di antara Muslimin Madinah dengan Musyrikin Mekah. Pada suatu hari Rasulullah s.a.w bersama-sama dengan rombongannya yang berjumlah lebih kurang 400 orang yang terdiri dari golongan Muhajirin dan Ansar berhajat untuk ke Mekah bagi menunaikan haji di Baitullah. Di dalam perjalanan menuju ke Mekah itu, Rasulullah s.a.w telah berhenti di pertengahan jalan untuk berihram supaya selamat dari diserang oleh musuh.
Rasulullah s.a.w telah mengutus seorang sahabat yang bernama “Basyar Ibn Sufyan” dari Kabilah Khuza’ah sebagai perisik bagi meninjau keselamatan di sepanjang perjalanan mereka menuju ke Mekah. Basyar kembali kepada Rasulullah s.a.w dengan membawa berita bahawa Musyrikin Mekah sedang membuat persiapan dan persediaan untuk memerangi rombongan Muslimin itu. Pada ketika itu Rasulullah dan rombongan Muslimin yang berada di Darul Asytar telah mengadakan mesyuarat tergempar dengan para sahabatnya bagi membincangkan situasi yang agak tegang itu. Akhirnya keputusan “syura” telah dibuat iaitu mereka berazam untuk meneruskan juga perjalanan mereka menuju ke Mekah dan bersedia untuk berperang jika itu yang terpaksa mereka tempuhi nanti.
Salah seorang dari sahabat yang menyertai rombongan itu telah menawarkan diri untuk membawa Rasulullah dan rombongan Muslimin melalui satu jalan yang selamat agar tidak bertembung dengan musyrikin Mekah. Mereka akhirnya berhenti di satu tempat untuk berehat dan menghilangkan penat dan dahaga mereka di situ, tiba-tiba datanglah “Budail Ibn Warqa’ Al-Khuzai’e memberitahu Rasulullah s.a.w bahawa Ka’ab bin Luai dan Amir bin Luai telah dilihat menuju ke tempat mereka itu untuk menghalang rombongan Muslimin dari memasuki kota Mekah. Rasulullah s.a.w menegaskan sekali lagi kepada Budail bahawa tujuan kedatangan Muslimin tersebut ke Mekah adalah untuk mengerjakan umrah bukan untuk berperang, namun mereka bersedia untuk berperang jika sekiranya itu yang dikehendaki oleh Musyrikin Mekah.
Budail bin Warqa’ pun dengan segera menemui rombongan Musyrikin Mekah dan menyampaikan semua pesanan dari Rasulullah s.a.w itu, tiba-tiba bangun Urwah bin Mas’ud dari kalangan musyrikin Mekah itu dan menawarkan diri untuk berunding dengan Rasulullah s.a.w. Urwah lantas menemui Rasulullah s.a.w berbincang dan berunding mengenai maksud sebenar kedatangan mereka itu ke Mekah. Sewaktu di dalam perbincangan itu, Urwah telah melihat Rasulullah s.a.w begitu dihormati dan dikasihi oleh para sahabatnya, malah dia melihat para sahabat berebut-rebut untuk membawa air apabila Rasulullah s.a.w hendak berwudhuk. Hati Urwah tiba-tiba menjadi lembut melihat keadaan tersebut, dan sekembalinya Urwah kepada kaumnya, beliau telah berkata : “Demi Allah, Wahai kaum Quraisy saya pernah melihat kebesaran Kaisar Rom, Kisra Parsi dan Raja Najasyi Habsyah tetapi tidak pernah sekalipun aku melihat rakyat mereka di sana menghormati raja mereka sebagaimana Muhammad dihormati dan dikasihi oleh sahabatnya. Sebenarnya dia membawa kepada kamu sesuatu yang benar dan kamu harus menerimanya.“
Musyrikin Mekah akhirnya mengutus Suhail bin Amru bagi mewakili mereka untuk berunding secara damai dengan Rasulullah s.a.w manakalah bagi pihak Muslimin pula Rasulullah s.a.w telah mengutus Saidina Ali bin Abi Talib sebagai wakil untuk berunding. Di dalam perundingan tersebut, Rasulullah s.a.w telah menerima permintaan Suhail wakil dari Musyrikin Mekah yang meminta Rasulullah s.a.w membatalkan tujuan mereka untuk menziarahi Mekah pada tahun itu. Mereka meminta agar Rasulullah dan rombongan Muslimin menunda tujuan mereka itu ke tahun depan dalam keadaan pedang yang bersarung atau tanpa sebarang peperangan atau pertumpahan darah. Di dalam perjanjian itu mereka juga telah meminta agar Rasulullah s.a.w mengembalikan semula penduduk Mekah yang lari ke Madinah untuk memeluk Islam kepada mereka di Mekah, manakala orang-orang Islam yang lari ke Mekah tidak akan dikembalikan semula kepada Muslimin. Satu perjanjian yang secara zahirnya dilihat sebagai berat sebelah dan tidak adil namun secara hakikatnya tersembunyi rahsia yang tidak diketahui iaitu sebagai salah satu cara dakwah bagi menyebarkan ajaran Islam di Mekah.
Pada 25 ZulQaedah tahun ke-10 Hijrah, Rasulullah s.a.w bersama-sama dengan 10,000 orang sahabat telah meninggalkan Madinah untuk menunaikan Haji Wada’ iaitu merupakan haji pertama dan terakhir baginda selepas hijrah.
Insya-Allah, saya akan sambung kisah peristiwa-peristiwa bersejarah yang berlaku di dalam bulan ZulHijjah pada minggu depan pula……terima kasih.

Popularity: 25% [?]



















About






































