USAHAWAN JUJUR DAN AMANAH
Tazkirah February 29th, 2008
Assalamualaikum,

Usahawan yang jujur dan amanah di dalam melakukan urusan perniagaan dan jual belinya akan bersama-sama dengan Nabi, para Siddiqin dan Syuhada’ di akhirat kelak. Itulah antara janji yang kita perolehi apabila jujur di dalam perniagaan kita dan amanah di dalam urusan jual beli yang dilakukan. Bergelar usahawan bukanlah satu perkara yang sukar tetapi usaha kita untuk memastikan agar gelaran usahawan itu selari dengan kehendak Islam adalah satu perkara yang memerlukan kepada ilmu dan sabar. Menimba ilmu perniagaan dari Barat atau menjadikan tokoh-tokoh usahawan mereka sebagai model kita adalah satu cara untuk menjadikan kita lebih motivasi dan produktif tetapi belum cukup untuk menjaminkan diri kita ini menjadi seorang usahawan yang diredai dan diberkati-Nya jika kita tidak menjadikan Syariah itu sebagai ‘guideline’ kita di dalam urusan perniagaan. Ini kerana Allah s.w.t dan Rasulu-Nya telah meletakan beberapa ‘guideline’ dan prosedur yang mesti diikuti oleh Umat Islam melalui nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah agar kita tidak terpesong dari landasan sebenarnya. Kita mungkin akan menjadi alpa apabila melihat wang yang mengalir masuk seperti air sejuk ke dalam poket atau bank kita sehingga menyebabkan kita menjadi lupa dan lalai dengan perintah Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w dan seterusnya melanggar arahan guideline yang telah digariskan oleh Islam. Bagaimana caranya? Bagi mendapatkan gambaran yang jelas tentang Perniagaan dari kacamata Islam sudah tentu melalui pembelajaran secara bersungguh-sungguh bukan sekadar membaca semata-mata.
Rasulullah s.a.w ada bersabda dengan maksud :
“Sesiapa yang menyorok (longgokan) sesuatu barangan (keperluan) dengan maksud hendak menjualnya dengan harga mahal kepada Muslimin, maka dia adalah seorang yang bersalah (berdosa)” - Riwayat Muslim, Abu Daud dan At-Tirmizi.
Seorang usahawan yang amanah dan jujur akan diletakkan bersama para Nabi di akhirta kelak yang mana merupakan satu kedudukan yang paling tinggi di akhirat, begitulah janji yang diberikan oleh Allah s.w.t dan Rasul-Nya kepada para usahawan yang mampu mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan-Nya. Saidina Umar ibn Khatab r.a sewaktu menjadi khalifah sering melakukan rondaan secara bersendirian di pasar-pasar dengan membawa sebatang tongkat yang digunakan untuk memukul para peniaga yang menipu dalam sukatan dan timbangan mereka. Syaidina Umar akan segera mengetuk kepada peniaga tersebut dari belakang sebagai satu amaran dan peringatan di atas perbuatan khianat di dalam urusan jual belinya.
Maksud sabda Rasulullah s.a.w :
“Sesiapa yang menipu kami (orang Islam) maka dia bukanlah kalangan (umat) kami.” - Riwayat Muslim
Hendaklah kita berlaku jujur dan amanah di dalam urusniaga kita seperti mengikut harga pasaran, tidak memonopoli, sorok barang, berlaku persetujuan bersama atau saling meredai di antara pembeli dan penjual, jualan hendaklah bertepatan dengan tanda harga, resit, catatan atau perjanjian, boleh khiyar, tidak bersumpah dan sebagainya. Ini bagi memastikan agar pembeli tidak merasa tertipu terutama dengan kata-kata atau janji manis peniaga sewaktu menjual barangan mereka.
“Seorang Muslim itu adalah saudara bagi seorang Muslim yang lain, dan tidak halal bagi seorang Islam apabila dia menjual sesuatu jualan yang terdapat kecacatan padanya melainkan dia menjelaskannya terlebih dahulu.“
Demikianlah perintah dari Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w yang perlu diberikan penekanan di dalam urusan perniagaan kita agar tidak bercanggah dengan kehendak Islam. Kita mungkin terlupa atau sengaja lupa arahan agama dek kerana terlampau ghairah untuk mengejar kemewahan duniawi yang bukanlah satu kebahagian yang mutlak. Perintah ini merupakan satu tanggungjawab bersama kita sebagai Muslim bagi memastikan agar urusan perniagaan kita tersebut diberkati Allah s.w.t dan sekaligus menjadikan ekonomi kita kukuh dan berkat.

Popularity: 37% [?]













About






































